Credits

Bila Qalam Menari

Thursday, October 19, 2006

Erti Kemaafan DI AIDILFITRI

Bila sebut tentang kemaafan, ia memang sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Sukar untuk diucapkan dan sukar juga untuk diberikan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan suatu peristiwa yang begitu menyentuh emosi. Memang sukar untuk meminta maaf atau memberi maaf. Namun kita perlu ingat kalau bukan Aidil Fitri maka bila lagi waktu yang sesuai untuk kita bermaaf-maafan? Dalam bermaaf-maafan ini, ada yang bermaaf-maafan secara biasa-biasa sahaja tetapi ada yang perlu melakukannya sungguh-sungguh kerana memang ada kesalahan besar antara kita dan seseorang. Di sini perlunya kita menilai diri bagi mengatasi perasaan ego dan seterusnya sanggup bermaaf-maafan demi membina satu hubungan yang baik. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita renungi bersama bagi menguatkan azam kita untuk bermaaf-maafan dengan lebih bersungguh-sungguh.

1 Semua orang melakukan kesilapan.
Kita tidak perlu malu untuk terlebih dahulu menghulurkan tangan dan memohan maaf sebab semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidupnya. Tidak mustahil ketika kita memohon maaf dari seseorang maka dia pula sebaliknya memohon kemaafan dari kita. Cuma mungkin skala kesilapan yang telah dilakukan itu sahaja berbeza iaitu kecil atau besar.

2 Memohon maaf bukan bererti lemah.
Kikis persepsi kita bahawa memohon maaf itu tandanya kita lemah atau tiada pendirian. Ini bukan soal pendirian atau kewibawaan. Ini soal hubungan silaturahim yang wajib dieratkan. Kalau semua orang keras hati maka siapa yang mahu memulakan? Sampai bila pun titik perubahan tidak akan ditemui. Oleh itu biarlah kita yang memulakan dahalu. Lebih-lebih lagi kalau kita dipihak yang sepatutnya memulakannya dahulu. Oleh itu biarlah kita yang sepatutnya memulakannya dahulu. Misalnya kalau kita anak maka semestinya kita meminta maaf dahulu kepada kedua ibu bapa, isteri kepada suami, murid kepada guru, pekerja kepada majikan, adik kepada abang dan begitulah seterusnya. Walaupun kita sedar bukan kita yang bersalah tetapi status itu memerlukan kita untuk memulakannya.

3 Yakin apa yang kita berikan itulah juga yang kita dapat.
Allah itu maha adil, apabila kita berikan kemaafan kepada seseorang maka orang lain pula akan berikan kemaafan kepada kita. Kata orang putih 'What you give you get back! Jadi kita tidak perlu mengharapkan apa-apa dari orang yang telah kita maafkan itu sebab habuan untuk kita pasti datang dari orang lain pula.

4 Berikan kemaafan dengan penuh keikhlasan.
Seringkali berlaku situasi yang mana kita mengungkit kembali apa yang telah kita maafkan. Kalau begitu keadaannya dimana keikhlasan kita? Memaafkan itu perlu datang daripada hati dan disertai dengan sepenuh keikhlasan. Apabila kita telah memberi maaf maknanya antara kita dan orang itu sudah tidak ada apa-apa lagi. Tutup terus cerita lama dan buka buku baru.

5 Nyatakan salah kita secara spesifik agar mudah bagi orang memaafkan kita.
Kalau kita ikhlas memohon maaf maka nyatakanlah kesalahan mana yang kita mahu orang maafkan kita. Ada sesetengah orang sangka bila tibanya Aidil Fitri maka memohon maaf secara umum itu sudah memadai. Andaian sebegini adalah salah. Kita perlu nyatakan secara spesifik apa yang telah kita lakukan dan memohon agar kesalahan tersebut dimaafkan. Barulah orang yang mahu memberi maaf itu ikhlas pula memaafkan kita. Kenapa perlu rasa malu kalau kita ikhlas untuk meminta maaf? Memamg sukar untuk memulakannya tetapi setelah dilakukan maka kita sendiri akan rasakan bagaimana satu beban besar yang ditanggung selama ini terlepas serta merta.

6 Allah tidak ampunkan dosa kita.
Dosa kita dengan Allah bolehlah kita bertaubat tetapi bagaiman dosa kita dengan manusia? Kita perlu ingat Allah hanya akan ampunkan dosa kita sesama manusia hanya setelah kita meminta maaf dengan pihak yang terlibat. Selagi kita tidak meminta maaf maka selagi itulah kita terpaksa menanggung dosa itu dan terimalah balasannya di akhirat kelak. Sebab itu penting untuk kita segerakan memohon maaf ini kerana kita tidak tahu bila ajal kita.

* Petikan daripada Majalah rapi keluaran 15 Okt. 2006

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA


Posted by klena :: 5:38 AM :: 0 Comments:

Post a Comment

---------------------------------------

Sunday, October 15, 2006

JB JWanitaYPBahagia - Emas Kedua

SESUNGGUHNYA BERSAMA
KESULITAN ADA KEMUDAHAN
Emas Kedua
ANDA MEMPUNYAI
SEGUDANG NIKMAT
Kelembutan Allah betapapun lama masanya
terasa bagaikan kerdipan mata bila mata memejam
Saudariku, sesungguhnya sesudah kesulitan itu pasti ada kemudahan. Setelah titisan air mata pasti ada senyuman, dan setelah malam pasti akan datang siang. Sesungguhnya awan kelabu kesedihan pasti berlalu, pekatnya malam kesusahan pasti tersingkap, segala masalah pasti teratasi, dan segala bencana pasti akan berakhir dengan izin Allah.
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya engkau diganjari pahala. Jika engkau seorang ibu, anak-anakmu akan menjadi penyokong Islam, pelayan dan penolong agama, jika engkau mampu mendidik mereka dengan pendidikan yang benar. Mereka akan berdoa untukmu dalam sujud-sujud dan dalam malam-malam ibadah mereka. Sungguh suatu nikmat yang luar biasa menjadi seorang ibu yang penuh kasih-sayang dan kelembutan. Dan cukuplah bagimu untuk merasa mulia dan bahagia bahawa ibu Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam adalah seorang ibu yang menghadiahkan bagi seluruh manusia seorang pemimpin agung dan Rasul yang mulia.
Dan puteri Wahab telah menghadiahkan
kepada umat manusia
"Tangan putih" (Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam)
yang merangkul bahu semua manusia
Saudariku, sebenarnya anda mampu menjadi da'iyah (penyeru kebaikan) di kalangan perempuan di negeri anda. Serulah mereka dengan kalimat yang benar, nasihat yang baik dan penuh hikmah. Ajaklah mereka untuk berdialog dan berdiskusi. Tunjukkan pada mereka sikap yang bersahabat. Dan terakhir, bimbinglah mereka menuju risalah Allah dan RasulNya yang mulia. Sesungguhnya, wanita dengan perilakunya yang soleh dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan cara berkhutbah, berpidato, atau mengikut pembelajaran.
Betapa banyak wanita selalu tetap dikenang, kerana menjadi rujukan dalam agama, rasa malu, hijab, akhlaq yang baik, baik pada tetangga, dan taat pada suami. Kisah hidupnya yang harum akan terus diceritakan oleh kebanyakan orang, dijadikan nasihat di majlis-majlis dan ikutan yang selalu ingin ditiru oleh kaumnya.
Bekalan
Esok Akan Merekah Bunga Yang Harum
Baunya Mengusir Segala Kesedihan dan
Menjadi Penghibur Hati

Posted by klena :: 2:41 AM :: 15 Comments:

Post a Comment

---------------------------------------

Friday, October 13, 2006

Jangan Bersedih JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA - JB JWanitaYPBahagia

Sebuah buku oleh Dr 'Aidh Bin 'Abdullah Al-Qarni dan terjemahan oleh
Muhammad Huzaifah.

* Tiada daya untuk menghindar dari kederhakaan dan tiada kekuatan untuk melakukan ketaatan, kecuali dengan pertolongan allah
*

Emas Pertama - WANITA YANG MELAWAN PENINDASAN

Apa yang berlalu biarlah berlalu:
cita-cita adalah harapan yang belum pasti;
dan bagimu hanyalah saat yang sedang dijalani

Perhatikan nash-nash syari'at yang terkandung dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah. Sesungguhnya Allah telah memuji seorang wanita solehah dan mukminah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfiman:
Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata : 'Ya Tuhanku, bangun lah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim (Surah Ath-Tahrim: Ayat 11)

Jadi, renungkanlah kenapa Allah menjadikan wanita ini (Asiah Radhiyallahu'anha)
sebagai contoh atau ikutan bagi orang-orang mukmin atau mukminah? Kenapa Allah menjadikannya sebagai model dan fenomena yang jelas bagi mereka yang ingin mendapatkan hidayah dan melaksanakan sunnah Allah dan RasulNya dalam kehidupan?

Alangkah cerdas dan pintarnya wanita ini, kerana ternyata dia lebih memilih tinggi di sisi Tuhannya Yang Maha Mulia dan lebih mengutamakan bertetangga (dengan Allah) daripada menempati tempat tinggalnya. Untuk itu, ia rela membangkang terhadap ketaatan kepada suaminya, Fir'aun yang berdosa, melampaui batas, lagi kafir. Dia menolak hidup di dalam istananya yang mewah penuh dengan perhiasan duniawi dan banyaknya para palayan yang siap melayani semua keperluannya. Dia lebih memilih tempat tinggal yang lebih kekal, lebih indah, dan lebih cantik di sisi Tuhannya yang menguasai semesta alam, didalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, di tampat yang telah dijanjikan di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.
Sesungguhnya dia adalah wanita yang agung, di mana keteguhan dan kejujurannya telah mendorongnya untuk menyeru secara terang-terangan kepada suaminya - seorang diktator zalim - dengan kalimah kebenaran dan keimanan. Maka akhirnya, ia pun diseksa kerana mempertahankan keimanannya itu. Kemudian Allah menjadikannya sebagai wanita teladan bagi setiap mukminah hingga hari qiamat. Allah juga mencatat dan memuji namanya dalam Al-Qur'an serta menyanjung perbuatannya dan menghinakan suaminya yang telah menyimpang dari jalan Allah.
Bekalan
Di Sana Ada Suatu Tempat Di Barisan
Terdepan, Tetapi Menuntut Anda Untuk
Menambah Peningkatan dan Kesempurnaan
Dalam Setiap Hal Yang Anda Amalkan.

Posted by klena :: 4:16 AM :: 4 Comments:

Post a Comment

---------------------------------------

Wednesday, October 11, 2006

Salam Untuk Semua

Insya'ALLAH dengan izinNya jua blog ini aku khusus kan untuk memaparkan hasil tulisan, nukilan atau apa-apa juga yang bermanfaat untuk dikongsi bersama para pengunjung sekelian. Harapan ku semoga ia memberi kebaikan buat diri kita semua.

Posted by klena :: 10:16 PM :: 0 Comments:

Post a Comment

---------------------------------------